November 07, 2017

Sekitar Perhimpunan Agung MCA ke 64

5 Nov 2017 - Sekitar Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-64 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.



























Kisah kejayaan syarikat Malaysia di Kemboja... Menimba emas Sungai Mekong

Kisah kejayaan syarikat Malaysia di Kemboja... Menimba emas Sungai Mekong

KEMBOJA atau lebih tepat Phnom Penh kini menjadi lombong emas kepada syarikat-syarikat Malaysia yang berani membuat pelaburan dan memandang jauh ke depan.

Sekali imbas, komplek besar dan mewah di depan Dataran Kemerdekaan bersebelahan dengan Sungai Mekong di kawasan paling berprestij di Pnhom Penh, tiada siapa membayangkan ia merupakan bangunan kepunyaan syarikat daripada Malaysia.

Bukan satu bangunan, tapi dua, dan sedang dalam pembinaan yang ketiga.

Sungai Mekong adalah sungai ke-12 terpanjang di dunia, panjangnya 4880 km dan lembangan Sungai Mekong seluas 812,000 km persegi. Mengalir dari Dataran Tibet di utara mengalir melalui Yunnan di China, Myanmar, Thailand, Laos, Kemboja dan Vietnam.

Ketika rombongan wartawan Malaysia tiba di situ Khamis lalu, tiga buah kereta mewah jenis Rolls Royces diparkir di kaki lima Komplek Naga2  yang siap mengangkut para tetamu hotel ke mana sahaja mereka mahu.

Komplek Naga 1 dan Naga 2 merupakan mercu tanda kejayaan syarikat Naga World milik usahawan Malaysia Tan Sri Dr. Chen Lip Keong yang sudah melabur di negara itu sejak awal tahun 1990-an.

Kami dijemput ke Kemboja Khamis lalu, bersama-sama lebih 100 wartawan seluruh dunia untuk menyaksikan perasmian gilang gemilang Kompleks Naga2, yang merupakan hotel dan komplek perniagaan bersepadu di negara tersebut.

Menurut Dr. Chen,  daripada data yang dimiliki mereka dari 10 warga Malaysia yang melawat Pnhom Penh, sembilan merupakan tetamu Naga World.

Memang mengujakan, kami yang dibawa melawat setiap lokasi penting di kedua-dua bangunan itu merasakan seperti berada di negara sendiri.

Ramai pekerjanya daripada Malaysia, bahasa bukan isu utama apabila anda berada di kompleks hiburan bersepadu yang dianugerahkan lesen monopoli kasino sehingga 2035 di Kemboja ini.

Perasmian Naga2 pada Jumaat lalu dilakukan sendiri oleh Menteri Pelancongan Kemboja Dr. Thong Khon bersama-sama  10 Duta ASEAN ke negara itu, termasuk Duta Malaysia ke Kemboja Datuk Seri Hasan Malek yang diberi penghormatan untuk sama-sama memotong reben perasmian.

Dr. Chen berkata, pihaknya kini berada dalam landasan yang tepat bagi mencapai hala tuju jangka masa panjang syarikat tersebut.

"Saya ke sini (Kemboja) pada tahun 90-an sebagai sebahagian daripada program 'Kemakmuran ASEAN', iaitu ahli-ahli perniagaan daripada Malaysia dan Singapura melabur di Kemboja untuk mempercepatkan kemajuan negara ini.

"Sejak itu, kami tidak menoleh lagi dan bertapak kukuh di negara ini," kata pemilik Nexus Resort Karambunai di Teluk Sepanggar Sabah ini.

Di Malaysia, Dr Chen dikenali sebagai ahli perniagaan yang low profile, namun di Kemboja beliau merupakan penasihat Perdana Menteri negara itu Hun Sen serta penasihat keluarga diraja Kemboja.

Beliau bukan seorang yang mengemari publisiti, temubual dengan wartawan dari Malaysia selepas taklimat media pelancaran Naga2 itu merupakan yang pertama sejak 28 tahun lalu.

Ditanya mengenai masa depan syarikat Naga World di Kemboja,  Dr Chen yakin syarikat beliau akan menjadi pemain di liga global bagi sektor hospitaliti.

“Kami melihat kemungkinan untuk membangunkan Naga3, ia berikutan gelombang pelanggan dari China sebelum melebarkan sayap di pasaran luar berpotensi selain Kemboja dan bermain di arena global,” katanya.

Sehingga kini, jumlah keseluruhan pelaburan NagaWorld melibatkan sebanyak RM6.35 bilion (AS$1.5 bilion).

Kompleks NagaWorld mempunyai resort bersepadu bertaraf dunia termasuk 1,700 bilik hotel, 2,200 tempat duduk teater, kemudahan MICE, pelbagai pilihan tempat makan dan hiburan, membeli-belah bebas cukai dan lesen perjudian.

"NagaCorp telah memberikan sumbangan penting ke arah ekonomi Kamboja. Pada tahun 2016, syarikat itu menyumbang kira-kira 3 peratus daripada KDNK nasional dan kira-kira 25% daripada KDNK sektor hotel dan restoran, "ujarnya.

"Kami telah melatih lebih daripada 20,000 lepasan sekolah di Akademi Naga kami sendiri di bawah pelbagai program untuk pekerjaan yang berkaitan dengan hospitaliti. Sehingga 30 Jun 2017, bilangan pekerja kami melebihi 7,000 dan lebih daripada 90% daripada mereka adalah orang Kemboja."

Naga2 mempunyai keluasan sebanyak 120,000 meter persegi, dengan 3,800 meter persegi ruang runcit di NagaCity Walk yang dikendalikan oleh China Duty Free Group.

Dalam lawatan media ini, para tetamu dimanjakan dengan pelbagai pilihan, kenapa yang suka spa dan penginapan mewah, terdapat lebih daripada 900 bilik dan 65 suite spa di sini.

Lawatan kami dirancang ketika Kemboja menyambut perayaan Festival Air, salah satu dari perayaan kebangsaan di negara yang majoriti penganutnya beragama Buddha itu.

Di depan Dataran Kemerdekaan Sungai Mekong, tempat utama perayaan tersebut, yang kebetulan mengadap Naga 1 dan Naga 2, penuh sesak.

Skrin besar yang memenuhi 70 peratus bangunan tersebut boleh dilihat dengan jelas sepanjang Dataran Kemerdekaan itu, menjadikan negara sedang membangun ini kelihatan seperti di tengah Hong Kong atau New York.

Ribuan orang berkumpul selama tiga hari untuk menyambut Festival Air yang dimeriahkan dengan pelumbaan perahu panjang.

Dari bilik hotel yang mengadap delta itu, kita boleh menyaksikan bagaimana bangganya rakyat Kemboja bergambar kenangan ke arah komplek Naga World.

"Pembukaan Naga2 adalah perayaan, bukan hanya untuk keluarga Nagaworld, tetapi untuk semua orang Kemboja," kata Pengerusi NagaWorld Timothy Patrick McNally.

"Melalui projek kami dan rancangan masa depan, kami ingin memberitahu dunia bahawa masih ada kilauan emas di Sungai Mekong."Ujar bekas Pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat  ini.-6/11/2017

Catatan dalam siri Bingkisan Dari Sungai Mekong ini yang pertama daripada lima bahagian hasil lawatan ke Phnom Penh Kemboja baru-baru ini. Wartawan Agendadaily Helme Hanafi serta jurugambar Hiekal Rosli mengikuti rombongan media Malaysia ke negara itu pada dari 2 hingga 5 November lalu.