May 19, 2021

Mufti Perak disahkan dijangkiti Covid-19

Orang ramai diharap dapat mendoakan kesihatan Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria yang disahkan positif dijangkiti Covid-19.

Beliau kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim ketika dihubungi mengesahkan perkara itu selain meminta agar semua pihak mendoakan kesembuhan Harussani.

“Tan Sri (Harussani) masih menerima rawatan di HRPB. Mohon doa dari semua.

“Saya hanya boleh sahkan beliau masih dirawat di HRPB. Berkenaan (dakwaan) beliau memerlukan bantuan oksigen dan sebagainya, (maka) itu perlu dirujuk kepada ahli keluarganya,” katanya dipetik laporan Harian Metro. 

Terdahulu, tular dalam mesej WhatsApp mendakwa Harussani dijangkiti wabak membunuh itu.

Mesej terbabit antara lain menyatakan Harussani disahkan positif Covid-19 pada 11 Mei lalu dan memerlukan bantuan oksigen namun dalam keadaan beliau masih sedar.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim melalui hantaran di Facebook pada 12 Mei lalu turut memuat naik mengenai keadaan Harussani.

“Saya mendapat maklumat Sahibus Samahah Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak Darul Ridzuan dan isteri beliau positif Covid-19, sedang menerima rawatan di Hospital Permaisuri Raja Bainun, Ipoh.

“Sama-sana kita berdoa agar Allah pelihara kedua-dua insan yang kita kasihi ini,” tulisnya.

https://www.agendadaily.com/isu-semasa/mufti-perak-disahkan-dijangkiti-covid-19/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=blogger