May 19, 2021

Tajuddin guna alasan MKN tidak benarkan pemilihan UMNO dijalankan

Tiada kebenaran diberikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) digunakan sebagai alasan untuk UMNO menangguhkan pemilihan parti yang sepatutnya dijalankan Jun ini, kata Pengarah Pilihan Raya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Tajuddin berkata UMNO sebelum ini akan merujuk MKN sebelum membuat keputusan berhubung pemilihan parti dan mendakwa agensi kerajaan tersebut tidak memberi kebenaran ekoran peningkatan kes Covid-19 yang semakin mendadak.

“Setakat ini secara lisan dan secara dasarnya MKN menolak permohonan UMNO untuk mengadakan pemilihan.

“Namun sehingga kini belum ada sebarang surat rasmi daripada pihak MKN,” katanya dipetik portal Malaysiakini.

Tajuddin juga memberitahu wakil parti itu juga sudah mengadakan pertemuan dengan MKN.

Desakan supaya mengadakan pemilihan parti menjadi semakin kuat susulan klip audio tular perbualan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang merancang satu pakatan sulit.

Beberapa pemimpin utama parti secara terbuka menggesa supaya pemilihan diadakan pada Jun ini selepas berakhir mandat tersebut.

Untuk rekod, kali terakhir UMNO mengadakan pemilihan adalah pada akhir Jun 2018 yang menyaksikan pertembungan lima penjuru bagi jawatan Presiden, membabitkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Khairy Jamaluddin, Tengku Razaleigh Hamzah, Mohamed Iqbal Maricair, dan Mohd Yusof Musa@Jamaluddin.

 


https://www.agendadaily.com/politik/tajuddin-guna-alasan-mkn-tidak-benarkan-pemilihan-umno-dijalankan/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=blogger