February 06, 2017

Aktiviti-aktiviti peserta Food Flotilla for Myanmar semasa berada diatas kapal Nautical Aliya

Peserta misi Flotilla terkejut loceng kecemasan kapal berbunyi


Melepasi hari kedua misi Food Flotilla For Myanmar (FFFM), para peserta misi dikejutkan dengan loceng kecemasan yang dibunyikan oleh kapal Nautical Aliya sebagai tanda kecemasan.
Bunyi loceng tepat jam 4.30 pagi waktu Malaysia itu telah mengejutkan 230 peserta, bagaimanapun hanya merupakan salah satu latihan kecemasan yang dijalankan oleh kapten kapal Nautical Aliya, Mohamad Firdaus.
Pengarah Operasi Flotila yang juga Timbalan Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Farid Hassan berkata latihan berkenaan sekurang-kurangnya akan dilakukan dua hingga tiga kali sepanjang 20 hari misi FFFM.
“Ini adalah bagi memberi persediaan kepada para peserta misi bagi menghadapi sebarang kecemasan jika ia berlaku.
“Antara perkara-perkara yang diterangkan dalam sesi latihan kali ini adalah pilihan laluan yang patut dilalui untuk menuju tempat berkumpul, membuat pengiraan peserta, cara-cara pemakaian jaket keselamatan dan beberapa perkara yang berkaitan dalam proses menyelamatkan diri,” kata Farid dalam satu mesej WhatsApp pada Ahad.
Misi FFFM yang berlepas pada Jumaat melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) daripada beberapa buah negara seperti Indonesia, Kuwait, Perancis, Jerman, China, Thailand dan Arab Saudi.
Misi tersebut membawa 2,200 tan makanan dengan 600 tan lagi akan ditarik oleh dermaga (barge) melalaui perairan Langkawi, Thailand dan Laut Andaman.
Misi FFFM dijangka mengambil masa selama 20 hari melibatkan 230 sukarelawan termasuk pengamal media daripada 13 buah negara.5/2/2016 - Oleh MOHD HILMI MOHD ALI Foto HIEKAL ROSLI