February 15, 2017

Sekitar proses pengagihan bahan bantuan di kem pelarian Rohingya sekitar Cox's Bazar

Gara-gara masalah keselamatan cuma 25 sukarelawan flotila dibenar ke kem pelarian Rohingya


Bagi sebahagian besar sukarelawan misi Flotila ke Myanmar memang agak mengecewakan kerana mereka tidak dapat turut serta agih bantuan di kem pelarian Rohingya di selatan Bangladesh.
 
Apa nak buat kerana masalah keselamatan cuma 25 dari 182 sukarelawan sahaja yang dibenarkan oleh pihak berkuasa Bangladesh pergi kem pelarian.
 
Ketua Misi Kemanusiaan Datuk Seri Azeez Abdul Rahim berkata pihak berkuasa Bangladesh bimbang tidak dapat mengawal keadaan sekiranya kesemua 182 sukarelawan turun ke kem pelarian.
"Keselamatan tidak terjamin kerana mereka pernah jumpa senjata api di kem pelarian itu, sebab itu hanya 25 orang dibenarkan turun dan kita akur.
"Kerajaan Bangladesh syorkan kita datang balik dalam masa 15 hari jika ingin lihat proses pengagihan bekalan makanan yang dihantar," katanya.

Sebelum itu Azeez telah cuba sedaya upaya menerusi rundingan dengan pihak berkuasa Bangladesh untuk membolehkan semua sukarelawan dapat pergi ke kem pelarian yang terletak tidak jauh dari Cox Bazar.
 
Rombongan 25 sukarelawan telah bertolak menaiki bas dari Chittagong ke Cox Bazar.
 
Di pelabuhan Chittagong Azeez telah menyerahkan 2,000 tan bekalan makanan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Bangladesh dan Pertubuhan Antarabangsa bagi Migran (IOM).
 
 Penyerahan secara simbolik itu dilakukan Abdul Azeez kepada wakil Kementerian Luar Bangladesh Khurshed Alam.
 
Persatuan Bulan Sabit Merah Bangladesh dan IOM akan menguruskan proses penghantaran bekalan ke tiga kem di Kutupalong dan Teknaf.
"Pihak IOM akan meneliti dan membuat pemeriksaan sebelum membuat penyerahan di kem pelarian dalam tempoh seminggu lagi," katanya.- 14/2/2017- DARI HIEKAL ROSLI DI CHITTAGONG


Gambar-gambar berikut merupakan proses pengagihan bahan bantuan dari misi "FoodFlotilla for Myanmar" di beberapa kem pelarian Rohingya sekitar Cox's Bazar. diantaranya Kem Kutupalong, Leda, Balukali dan Kem Teknaf.

Foto oleh Hiekal Rosli