February 12, 2017

Nautical Aliya selamat tiba di Yangon, Myanmar

Liputan meluas media antarabangsa misi Flotila ke Myanmar...


Misi kapal Flotila ke Myanmar yang berlabuh dan menurunkan bantuan kepada etnik Rohingya di pelabuhan Yangon petang Khamis telah mendapat liputan meluas media antarabangsa.
Turut menjadi fokus laporan ialah demonstrasi kecil oleh puak sami Buddha dan aktivis Myanmar yang anti-Rohingya semasa kapal Nautical Aliya sampai di pelabuhan itu.
Antara media antarabangsa yang melapor kejayaan peringkat pertama misi itu ialah Aljazeera,Foxnews,Associated Press,Reuters,Channel News Asia,Daily Mail,New Zealand Herald,Bangkok Post.
Selain itu misi yang dipelopori Malaysia itu ia dilaporkan portal berita dan blog dari pelbagai negara.
Sementara itu kapal Nautical Aliya meninggalkan pelabuhan Yangon pada jam 1.45 tengahari waktu Malaysia Jumaat meneruskan pelayaran ke Chittagong, Bangladesh.
Ia belayar keluar dari pelabuhan itu tidak lama selepas kerja-kerja memunggah barang bantuan selesai. 
Selepas sahaja fasa pertama misi kemanusiaan 'Food Flotilla for Myanmar' di negara ini selesai , kapal 'Nautical Aliya' meneruskan pelayaran ke Chittagong, Bangladesh Jumaat.

Ketua misi Datuk Seri Azeez Abdul Rahim ketika bercakap pada wartawan yang menyertai misi itu berkata pelayaran ke Chittagong akan mengambil masa tiga hari.
Mereka dijangka tiba pada Isnin ini (13 Feb) namun ia bergantung kepada keadaan laut.
"Harap seluruh rakyat Malaysia mendoakan keselamatan kami untuk agihkan baki bekalan yang dibawa kepada masyarakat Rohingya (di Bangladesh).

"Kami juga harap kerajaan Bangladesh memberi kerjasama bagi memastikan misi ini tercapai," katanya.
Mengulas mengenai protes sekumpulan warga Myanmar, beliau menganggap tindakan itu isu terpencil, sebaliknya memuji usaha kerajaan Myanmar yang membantu menjayakan misi ini.

"Kita lihat sendiri Menteri Kebajikan Masyarakat, Bantuan dan Penempatan Semula Myanmar Dr Win Myat Aye tunggu lebih dua jam untuk sambut ketibaan kami.
"Tunjuk perasaan itu hanya 'isolated case' dan orang ramai tidak perlu bimbang kerana semua proses berjalan lancar tanpa sebarang gangguan," katanya.
Azeez berkata kerajaan Myanmar akan membantu memastikan 500 tan metrik bekalan yang dihantar diserahkan kepada masyarakat Rohingya di Rakhine.
"Mereka (kerajaan Myanmar) juga boleh agihkan bantuan ini kepada orang bukan Islam yang daif," katanya.
Misi yang masuk hari kelapan ini membawa 2,300 tan makanan, keperluan perubatan, keperluan harian, pakaian dan selimut, dijangka belayar selama 18 hari melalui Laut Andaman untuk sampai ke Yangon dan kem pelarian di Bangladesh.

'Food Flotilla for Myanmar' yang dianjurkan oleh Kelab Putra 1Malaysia dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia itu disertai 195 sukarelawan dari 12 negara melibatkan pasukan perubatan, tenaga pengajar, pengamal media tempatan dan antarabangsa serta wakil badan bukan kerajaan tempatan dan luar negara.- 10/2/2017- DARI MOHAMED HIEKAL ATAS KAPAL NAUTICAL ALIYA